Era globalisasi dikatakan boleh memusnahkan apa sahaja nilai-nilai terbaik sesuatu bangsa sekiranya bangsa itu gagal mempertahankannya dan membuka diri tanpa menyaring dan memilih antara yang baik dengan yang buruk. Budi bahasa dan nilai-nilai peradaban bangsa kita kian terhakis, walhal kita sedang bergerak ke arah menjadi sebuah negara maju. Bangsa Melayu sangat menghargai dan menjunjung tinggi budi.
Dalam kehidupan sosiobudaya, aspek budi, budi bahasa, sopan santun, etika cukup dipandang penting dalam tradisi Melayu. Masyarakat juga menilai segala sesuatu itu berdasarkan budi meskipun setinggi mana pangkat atau secerdik mana dan secantik mana pun seseorang. Manusia berbudi boleh disamakan dengan manusia yang berbakti dan melakukan amal jariah, yakni salah satu ciri tuntutan agama yang tidak putus walaupun sesudah kematian, selain dari anak yang soleh dan ilmu yang dimanfaatkan. Seorang anak Melayu yang kukuh modal insannya akan lebih budiman maknanya manusia itu menuju dan mencapai tahap insanul kamil, yang serba lengkap sempurna akhlak dan agamanya.
Minda masyarakat kita, terutama generasi muda kian bercelaru dan keliru. Budaya berbudi bahasa kian kehilangan kesopanan dan kesusilaan; orang tua tidak dihormati, guru dimusuhi, mendera rakan, khianat, sikap terlalu mementingkan diri, tidak bertimbang rasa, perosak harta awam, pengacau jiran dan sebagainya. Jika nilai-nilai negatif ini tidak dibendung segera mungkin lambat laun persepsi nilai akan berubah normanya, bahawa sesuatu nilai buruk akan diterima sebagai nilai baik. Maka manusia akan kembali mundur melangkah ke dunia “jahiliyyah”.
Gaya hidup masyarakat Barat dan nilai luar yang tidak sesuai kini sedang menerobos masuk kerana lemahnya pendidikan akhlak generasi muda kita. Akhlak terbina melalui nilai agama dan budaya, sesuatu yang harus bermula di rumah dan didukung sama oleh pihak sekolah. Nilai agama dan budaya Melayu mengajar yang baik, tetapi semuanya kian terhakis, kemerosotan budi bahasa dan sopan santun yang ketara. Mungkin kerana itulah agaknya Kerajaan Malaysia mengambil langkah melancarkan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni pada 11 Januari 2005 yang lalu. Mantan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi menegaskan “Dalam kesibukan kita sehari-hari, kita semakin lupa untuk memupuk ciri-ciri keperibadian luhur, baik untuk diri kita sendiri ataupun untuk anak-anak kita. Sebelum budaya masyarakat merosot lagi, kita harus sedar dan mempelajari serta mempraktikkan amalan berbudi bahasa dan nilai-nilai murni warisan kita. Usaha ini harus dimulakan pada peringkat diri sendiri.
Manusia berbudi dan ‘budiman’ itu patut menjadi idaman sesiapa juga. Sebab itulah banyak sekali budi digambarkan dalam pantun Melayu :
Bunga melati bunga di darat,
Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi.
Burung serindit terbang melayang,
Mari hinggap di ranting mati;
Bukan ringgit dipandang orang,
Pandangan atas budi pekerti.
Tanam serai tanam halia,
Tanam juga pokok sengkuang;
Orang berbudi disanjung mulia,
Ke mana pergi tiada terbuang.
Budi dan adab boleh diperhatikan dalam banyak peribahasa Melayu juga misalnya :
“Berjalan peliharalah kaki, berkata peliharalah lidah”
“Benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau”
“Yang kurik itu kundi, yang merah itu saga, yang baik itu budi yang indah itu bahasa”
“Harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan tulang, manusia mati meninggalkan nama”
“Seikat bagai sirih, serumpun bagai serai”
“Tempayan yang penuh itu tidak berkocak airnya”
Berbudi bahasa dapat juga dimaksudkan amalanyang memupuk sikap kesalingan menggunakan bahasa yang baik, tanda hormat, penghargaan, terima kasih, syukur; dan faham akan makam atau martabat seseorang. Berbudi bahasa itu merupakan gambaran pancaran hati jernih yang memberikan kesan yang baik kepada orang lain. Situasi ini akan menjadi proses membina masyarakat yang lebih beradab dan menjalin ukhuwwah atau persaudaraan.
Dalam budaya Melayu, barang diingat bahawa berbudi juga ada hadnya. Anggota masyarakat sentiasa diingatkan agar “Berbuat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali”, dan diingatkan jangan sampai kampung tergadai dan anak terbiar.
No comments:
Post a Comment